SBLM 1053 : BAHASA MELAYU PENGURUSAN
KUMPULAN : C12


Renungan Bersama
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”.(Surah al-Israa’:32)

Saturday, August 28, 2010

Pengenalan Masalah Pembuangan Bayi

Siti Rahmah Yunita bt. Abdul Rahim


201210


Dasawarsa ini, keruntuhan akhlak dan nilai-nilai murni dalam jiwa manusia sememangnya tidak lagi dapat dinafikan. Saban hari, kita disajikan dengan pelbagai laporan di dada akhbar dan di kaca televisyen mengenai penemuan bayi di dalam tandas, di tepi longkang,
di dalam masjid, mahupun di dalam tong sampah. Jenayah pembuangan bayi ini sangat berkait rapat dengan gejala kelahiran anak luar nikah, atau dikenali sebagai

anak tidak sah taraf. Hal ini bermakna, tindakan membuang bayi ini merupakan susulan daripada lahirnya anak tidak sah taraf. Dalang di sebalik senario ini sanggup membuang bayi mereka dengan harapan mereka akan diberi peluang untuk menjalani kehidupan yang baru dan tidak perlu menghadapi ejekan dan cacian masyarakat.


Stastistik yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, menunjukkan peningkatan jenayah pembuangan bayi dari tahun ke tahun. Buktinya, sebanyak 76 kes pada tahun 2007 direkodkan berbanding 62 kes pada tahun 2006. Sepanjang tahun 2005 hingga 2010, jumlah kes bagi jenayah ini adalah sebanyak 407 kes. Daripada jumlah besar tersebut, Selangor merekodkan jumlah kes yang paling tinggi, iaitu sebanyak 105 kes.Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara pula, terdapat sejumlah 257 411 sijil pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf bermula dari tahun 2000 hingga Julai 2008. Statistik ini telah didedahkan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Yang berhormat Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika sidang Dewan Rakyat pada 20 Oktober 2008.


Peningkatan yang berterusan dalam jenayah pembuangan bayi ini amat membimbangkan kerana ia melampaui batas-batas kemanusiaan dan norma-norma kehidupan. Perbuatan membuang bayi di merata tempat adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan. Malah, taraf haiwan adalah lebih baik kerana ia mengasihani dan memelihara anaknya dan sanggup mati demi keselamatan anak-anaknya. Inilah implikasinya apabila rohani seseorang tidak diisi dengan ajaran agama. Firman Allah s.w.t di dalam surah An-Nisa' ayat 93:

"Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar".

Renung-renungkanlah dan selamat beramal.

8 comments:

  1. best sgt blog ni. tahniah kepada penulis-penulis.

    ReplyDelete
  2. kalau tak salah ini asigmanet student uum nie..heheh

    ReplyDelete
  3. terima kasih untuk segala info yang diberikan :)

    ReplyDelete
  4. terima kasih........ nota ini amat membantu untuk kajian p.am saya

    ReplyDelete
  5. terima kasih juga kerana nota ini membantu saya dalam menyiapkan kerja folio sivik .. :)

    ReplyDelete
  6. rindunya dekat blog ni. assigment time kat UUM dulu. 5 years ago ^^,

    ReplyDelete