SBLM 1053 : BAHASA MELAYU PENGURUSAN
KUMPULAN : C12


Renungan Bersama
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”.(Surah al-Israa’:32)

Saturday, August 28, 2010

Masalah Pembuangan Bayi

Puteri Noraini Bt. Megat Abdul Kadir


201152




Masalah pembuangan bayi bukanlah merupakan satu perkara yang baru berlaku di negara ini. Sejak zaman Arab Jahiliyah lagi kita dapati gejala tidak beretika dan terkutuk ini telah dilakukan khususnya terhadap bayi serta anak-anak perempuan atas faktor keagamaan masyarakat pada masa itu. Khalifah Umar Al-Khattab juga pernah melakukannya semasa beliau belum lagi menganut agama Islam dan menyesali perbuatannya apabila beliau menganuti agama Islam. Akan tetapi, gejala pembuangan bayi kini begitu berbeza senario dan keadaannya memandangkan pembuangan bayi ini dilakukan atas desakan hawa nafsu manusia itu sendiri yang terlibat dengan aktiviti penzinaan hasil daripada pergaulan bebas remaja pada hari ini. Malu, sedih, buntu setelah terlanjur dan mengandung anak luar nikah , maka pengguguran serta pembuangan bayi menjadi langkah terbaik dalam menutup segala keaiban dan keburukan yang telah dilakukan oleh manusia itu sendiri. Kini gejala pembuangan bayi diperkatakan semula berikutan semakin ramai bayi yang ditemui sama ada dalam keadaan hidup atau mati di merata tempat.



Pengenalan Masalah Pembuangan Bayi

Siti Rahmah Yunita bt. Abdul Rahim


201210


Dasawarsa ini, keruntuhan akhlak dan nilai-nilai murni dalam jiwa manusia sememangnya tidak lagi dapat dinafikan. Saban hari, kita disajikan dengan pelbagai laporan di dada akhbar dan di kaca televisyen mengenai penemuan bayi di dalam tandas, di tepi longkang,
di dalam masjid, mahupun di dalam tong sampah. Jenayah pembuangan bayi ini sangat berkait rapat dengan gejala kelahiran anak luar nikah, atau dikenali sebagai

anak tidak sah taraf. Hal ini bermakna, tindakan membuang bayi ini merupakan susulan daripada lahirnya anak tidak sah taraf. Dalang di sebalik senario ini sanggup membuang bayi mereka dengan harapan mereka akan diberi peluang untuk menjalani kehidupan yang baru dan tidak perlu menghadapi ejekan dan cacian masyarakat.


Stastistik yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, menunjukkan peningkatan jenayah pembuangan bayi dari tahun ke tahun. Buktinya, sebanyak 76 kes pada tahun 2007 direkodkan berbanding 62 kes pada tahun 2006. Sepanjang tahun 2005 hingga 2010, jumlah kes bagi jenayah ini adalah sebanyak 407 kes. Daripada jumlah besar tersebut, Selangor merekodkan jumlah kes yang paling tinggi, iaitu sebanyak 105 kes.Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara pula, terdapat sejumlah 257 411 sijil pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf bermula dari tahun 2000 hingga Julai 2008. Statistik ini telah didedahkan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Yang berhormat Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika sidang Dewan Rakyat pada 20 Oktober 2008.


Peningkatan yang berterusan dalam jenayah pembuangan bayi ini amat membimbangkan kerana ia melampaui batas-batas kemanusiaan dan norma-norma kehidupan. Perbuatan membuang bayi di merata tempat adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan. Malah, taraf haiwan adalah lebih baik kerana ia mengasihani dan memelihara anaknya dan sanggup mati demi keselamatan anak-anaknya. Inilah implikasinya apabila rohani seseorang tidak diisi dengan ajaran agama. Firman Allah s.w.t di dalam surah An-Nisa' ayat 93:

"Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar".

Renung-renungkanlah dan selamat beramal.

Faktor Pembuangan Bayi 1

Noor Shahira Bt. Lokman

204694

Faktor utama berlakunya masalah pembuangan bayi ini ialah kurangnya didikan dan fahaman agama. Kekurangan didikan agama yang seharusnya menjadi pedoman dan sebagai panduan hidup setiap manusia menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan ini dan seterusnya mereka melibatkan diri dalam gejala-gejala negatif seperti pergaulan bebas dan sebagainya. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan , kebiasaannya akan menyebabkan mereka terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral dan salah di sisi agama seperti melakukan persetubuhan tanpa mempunyai ikatan yang sah. Hasil daripada keterlanjuran mereka ini akan menyebabkan pasangannya hamil sebelum mempunyai ikatan yang sah. Dalam situasi ini, mereka yang hilang pedoman dan pegangan agama sanggup membuang dan meninggalkan bayi mereka selepas dilahirkan. Lebih tragis lagi,terdapat segelintir pihak yang sanggup membunuh dan membakar bayi yang tidak berdosa itu bagi menutup dan menyembunyikan hasil hubungan sulit mereka. Di manakah nilai-nilai kemanusiaan mereka ??

Selain itu juga , faktor yang seringkali dikaitkan dengan masalah pembuangan bayi ini ialah pengaruh dari rakan sebaya. Bagi remaja, mereka masih muda dan mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang sebaya dengan mereka. Hal ini menjadi lebih teruk lagi apabila mereka bergaul dengan rakan sebaya yang negatif dan sering melakukan aktiviti yang tidak bermoral. Rakan-rakan yang negatif ini kebiasaannya cenderung menggalakkan mereka melakukan perkara-perkara yang melampaui batas seperti pergi ke tempat hiburan, melepak, menghisap dadah, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dan sebagainya. Remaja yang terjerumus dalam kancah-kancah negatif tersebut, tanpa segan silu melakukan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mengetahui dirinya hamil. Bagi menutup aib mengelakkan maruah diri dan keluarga tercemar ,mereka membuang dan meninggalkan sahaja bayi yang baru dilahirkan itu .



Faktor Pembuangan Bayi 2

Nurul Sakinah Bt. Ahamad

204789

Faktor-faktor berlakunya pembuangan bayi adalah sikap masyarakat sekeliling. Apa yang kita dapat lihat, sikap segelintir masyarakat Malaysia yang hanya pandai mengkritik dan menghukum sahaja tanpa mengetahui perkara yang sebenarnya. Di sini , apabila seorang remaja perempuan hamil dan melahirkan anak sebelum dinikahi,sudah pasti masyarakat setempat menghina, mencemuh dan memandang serong padanya. Dan secara tidak langsung remaja perempuan itu dianggap sebagai menjatuhkan maruah keluarganya. Tidak sedarkah sikap segelintir masyarakat ini , memberikan tekanan dan menambahkan bebanan terhadap remaja perempuan tersebut. Akhirnya, demi menjaga imej diri sendiri dan keluarga, mereka mengambil jalan dan langkah yang mudah dengan membuang bayi yang baru dilahirkan untuk mengelakkan diri dari dipandang hina dan jijik oleh masyarakat. Jalan mudah yang diambil oleh mereka ini menunjukkan sebenarnya mereka sebenarnya memerlukan bimbingan dan sokongan dari masyarakat terhadap masalah yang mereka alami.

Selain itu, keruntuhan institusi keluarga juga menjadi punca pembuangan bayi pada masa kini. Keruntuhan institusi rumah tangga menyebabkan remaja merasa tertekan berada di rumah dan secara tidak langsung membina kehidupan sendiri di luar dengan cara hidup mereka yang tersendiri. Ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dalam institusi rumah tangga, bagi mewujudkan keselesaan untuk anak-anak mereka. Remaja yang mengalami proses kedewasaan memerlukan perhatian , bimbingan dan kasih sayang dari keluarga dalam setiap apa yang mereka lakukan agar mereka tidak tersilap langkah dalam menempuhi alam remaja yang penuh dengan cabaran ini.